Surah 72. Ayat 14-28.
Surah Al-Jinn
Dan
bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara
kita golongan yang beragama Islam dan ada pula golongan yang (kufur
derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang
menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang
bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar. (14) Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi Neraka Jahanam. (15) (Nabi
Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): Dan bahawa sesungguhnya!
Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan
(Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan,
terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka. (16) (Pemberian
yang demikian) untuk Kami menguji (dan menzahirkan bawaan dan keadaan)
mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu (adakah mereka
bersyukur dan tetap betul menurut Islam) dan (ingatlah), sesiapa yang
berpaling dari mengingati Tuhannya, (dengan berlaku ingkar derhaka,
maka) Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya.
(17) Dan
bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah
semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama
Allah. (18) Dan
bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri
mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka hampir-hampir menindih satu sama
lain mengerumuninya. (19) Katakanlah
(wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku
semata-mata dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun. (20) Katakanlah
lagi; Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang mudarat dan
tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu. (21) Katakanlah
lagi; Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi
perlindungan oleh sesiapapun dari (azab) Allah (jika aku menderhaka
kepadaNya) dan aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan
selain daripadaNya, (22) (Aku
diberi kuasa) hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan
perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaku menyampaikannya) dan
sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka
sesungguhnya disediakan baginya Neraka Jahanam, kekallah mereka di
dalamnya selama-lamanya.. (23) (Golongan
yang kufur ingkar itu tetap memandang engkau lemah dan kurang penyokong
wahai Muhammad), sehingga apabila mereka melihat (azab) yang dijanjikan
kepada mereka, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah
orangnya yang lemah penolong-penolongnya dan sedikit jumlah bilangannya.
(24) (Kalau
ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: Aku tidak mengetahui samada
(azab) yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat atau Tuhanku
menentukan bagi kedatangannya satu tempoh yang lanjut. (25) Tuhanlah
sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu
perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun; (26) Melainkan
kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian
dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak
melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang
Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga
perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan). (27) (Tuhan
mengadakan malaikat-malaikat itu) supaya Dia mengetahui bahawa
sesungguhnya (dengan jagaan mereka) Rasul-rasul itu telah menyampaikan
perutusan-perutusan Tuhan mereka, (dengan sempurna); pada hal Dia memang
mengetahui dengan meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta
Dia menghitung tiap-tiap sesuatu: Satu persatu. / (28)
Comments
Post a Comment